Muhyiddin terima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura, Pesuruhjaya Tinggi Australia

0
1

PENGURUSAN pasca pandemik Covid-19 termasuk pemulihan ekonomi antara perkara yang dibincangkan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), berkata perkara itu dibincangkannya ketika menerima kunjungan hormat Dr Vivian Balakrishnan, hari ini yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia.

“Pelbagai perkara disentuh semasa perbincangan tersebut, antaranya hubungan dua hala Malaysia dan Singapura, serta pengurusan pasca pandemik Covid-19 termasuk pemulihan ekonomi kedua-dua negara.

“Dalam pertemuan itu saya menekankan isu pemulihan ekonomi dalam bidang pelancongan ekoran pembukaan sempadan Malaysia-Singapura yang berjalan dengan jayanya yang mana warga Singapura telah mula mengunjungi tempat-tempat pelancongan di Malaysia, terutamanya di Johor.

“Kekerapan dan destinasi penerbangan antara perkara yang perlu ditingkatkan di antara kedua-kedua negara bagi memulihkan sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik sebelum ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, turut menyertai kunjungan hormat itu adalah Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.

Muhyiddin berkata, beliau dan Dr Vivian Balakrishnan turut bersetuju mengenai kebimbangan harga bahan mentah global yang semakin meningkat naik akibat pelbagai faktor luar.

Beliau berkata, selain itu isu sekuriti makanan turut disentuh dalam perbincangan tersebut.

Sementara itu, dalam pertemuan berasingan, beliau turut menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr Justin Lee, di pejabatnya hari ini yang turut disertai Setiausaha Kedua di Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia, Luke Greevy.

“Pelbagai perkara disentuh dalam pertemuan tersebut, antaranya pemulihan ekonomi Malaysia dan Australia, isu politik dan kenaikan harga barang mentah global.

“Pertemuan turut menyentuh hubungan baik di antara Malaysia dan Australia. Dr Justin turut menyampaikan penghargaan Kerajaan Australia kepada saya dalam meningkatkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara sepanjang kepimpinan saya sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Muhyiddin berkata, pihaknya turut menyatakan komitmen untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara 2.0 yang kini dirangka secara lebih komprehensif serta inklusif bagi memastikan pemulihan seterusnya yang bersifat menyeluruh.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua delegasi Singapura dan Australia yang telah mengadakan kunjungan hormat tersebut pagi ini.

“Semoga hubungan baik Malaysia dan Singapura serta Malaysia dan Australia dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan mendatang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here