SEORANG lelaki warganegara Malaysia mengaku bersalah kerana atas pertuduhan dengan sengaja telah mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan Pendaftaran Kelahiran Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.
Tertuduh, Lau Tong Meng, 42, yang dituduh mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran & Kematian 1957 (Akta 299) dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 dan dua bulan penjara jika gagal bayar.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu perkongsian di laman Facebook rasminya, hari ini memaklumkan berdasarkan fakta kes, tertuduh telah dipanggil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Kuala Lumpur untuk memberikan keterangan bagi melengkapkan siasatan berkaitan pemalsuan maklumat pendaftaran kelahiran.
Tertuduh didapati telah mendaftarkan kelahiran bayi di kaunter Bahagian Kelahiran, JPN Kuala Lumpur pada 4 November 2019 dengan mengemukakan maklumat palsu.
Susulan itu tertuduh telah ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran & Kematian 1957 (Akta 299).
Dalam hantaran itu, JPN menyeru orang ramai untuk memberikan maklumat berhubung sebarang penyelewengan dokumen pengenalan diri JPN.
Menurut JPN, maklumat boleh disalurkan sama ada melalui aduan bersemuka, surat, talian telefon 03-88807077, faks 03-88808288, emel [email protected] atau laman web SisPAA di http://jpn.spab.gov.my. – Malaysiapost

