‘Bagi saya kelakar dan isu sangat kecil’ – Awal Ashaari

0
1

PELAKON dan pengacara Awal Ashaari merasakan pertuduhan dikenakan ke atasnya berhubung satu kes khianat adalah sesuatu yang ‘kelakar’.

Awal atau nama sebenarnyan Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, berkata isu yang timbul adalah perkara kecil dan melucukan.

Bagaimanapun, suami kepada pelakon Scha Alyahya itu menyerahkan perkara tersebut kepada peguamnya untuk tindakan lanjut, selain pihak berkuasa untuk menilai memandangkan ia telah menjadi kes mahkamah.

“Bagi saya kelakar dan isu ini sangat kecil. Jadi saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menilai.

“Saya terkejut sebenarnya. Selepas raya saya kena Covid-19 dan lepas itu isu ini pula.. tapi saya redha,” katanya ketika di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, peguamnya, Datuk M Reza Hassan berkata, pihak beliau akan mengkaji dahulu pertuduhan yang telah dikemukakan oleh pendakwa.

Menurutnya, setelah selesai membuat penilaian, pihak beliau akan memberi nasihat berhubung tindakan sewajarnya yang patut diambil selepas itu.

“Kita mahu kaji dahulu apa pertuduhan sebenar yang dihadapkan kepada pendakwa terhadap awal.

“Selepas kita menilai pertuduhan tersebut kita akan nasihatkan Awal apakah tindakan sewajarnya yang seharusnya diambil.

“Bagi kita masa untuk menilai pertuduhan tersebut secara teliti dan kita akan ambil tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, bekas pengacara rancangan Melodi itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di Petaling Jaya hari ini terhadap pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan perumahan.

Awal membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Awal melakukan perbuatan itu di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, di sini dengan nilai kerugian dianggarkan RM600 pada 11.30 pagi, 16 April lalu.

Awal didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun atau tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here