KERAJAAN sedang berusaha menambah 5,000 lagi kuota haji untuk jemaah Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Perkara itu diakui Idris menerusi Facebook rasmi miliknya sebentar tadi, bagaimanapun
beliau berkata ia bergantung kepada kemampuan yang boleh diberikan negara itu.
“Ya, kerajaan berusaha untuk tambahkan lagi kuota haji untuk jemaah Malaysia. Setakat ini 5000 yang diminta untuk tambah.
“Apapun ia bergantung kepada Kerajaan Arab Saudi untuk menentukannya,” katanya menerusi Facebook.
Idris berkata, beliau berusaha sehabis baik untuk cuba memohon kepada kerajaan Arab Saudi agar mempertimbangkan permintaan Malaysia.
“Saya sentiasa mendengar permohonan rakyat yang meminta agar kuota ditambah.
“Dalam upaya yang ada, saya berusaha sehabis baik memandangkan ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Tambah Idris, diperingkat Tabung Haji pada ketika ini, pihaknya sedang giat membuat persiapan yang terbaik untuk memastikan jemaah Malaysia dapat menunaikan haji dengan sesempurna mungkin tahun ini.
“Kita doakan supaya urusan haji pada kali ini diberikan kelancaran oleh Allah SWT,” katanya.
Pada 21 April lalu, Idris mengumumkan kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima.
Kuota sebanyak 14,306 itu memperlihatkan penurunan daripada 31,600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan menunaikan rukun Islam kelima itu pada 2019. – Malaysiapost

