SEORANG lelaki berusia 41 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang kini ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Farouk Eshak, berkata lelaki yang bekerja sebagai kontraktor sambilan itu ditahan pada jam 5.40 petang semalam.
Menurutnya, tangkapan dibuat oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di Jalan Besar Taman Dagang, Ampang.
“Suspek adalah kawan kepada bapa mangsa yang diminta untuk menjaga mangsa sementara Ibu bapa kandung kanak-kanak terbabit ditahan di penjara.
“Suspek yang ditahan mempunyai tiga rekod lampau dadah dan satu jenayah komersil,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam satu kenyataan terdahulu, Mohammad Farouk memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki pada jam 1 tengah hari Sabtu lalu, yang mendakwa terdengar tangisan kuat seorang kanak-kanak lelaki.
“Lelaki terbabit telah membuat pemeriksaan badan kanak-kanak berusia lingkungan tiga tahun itu dan mendapati terdapat kesan kecederaan di muka serta badan mangsa.
“Lelaki berkenaan kemudian terus ke balai polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, susulan itu mangsa ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut. – Malaysiapost

