UMNO bersetuju dengan pendapat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar audit forensik turut dilakukan ke atas Sapura Energy.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata meskipun pihaknya menyokong cadangan supaya Petronas mengambil alih syarikat tersebut, namun audit forensik tetap perlu dilakukan agar ianya lebih telus.
Beliau berkata, Umno mahu melihat agenda-agenda Melayu dan Bumiputera terus diperkasakan.
Katanya, ini termasuk memperkukuhkan agensi-agensi amanah Bumiputera, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji, Felda, Mara dan Institusi pegangan ekuiti Bumiputera wajib menjadi agenda utama kerajaan tanpa tunduk dengan tekanan untuk agenda berkenaan dikesampingkan.
“Seperti yang telah diutarakan dalam Debat Perdana antara dua tokoh politik empat hari yang lalu, Syarikat yang pegangan ekuitinya disertai oleh PNB seperti Sapura Energy di mana terdapat lebih 10 juta pemegangan saham amanah, Amanah Saham Nasional (ASN) turut mempunyai kepentingan mesti bantu.
“Sebanyak lebih RM5 billion telah dilaburkan oleh PNB. Syarikat itu menggaji lebih 10,000 tenaga kerja dan lebih 3,000 vendor terlibat.
“Tanpa menggunakan dana langsung kerajaan, Petronas sesuai untuk mengambil alih dan melakukann ‘turn-around’ sesegera mungkin.
“Namun, kita bersetuju supaya pengauditan forensik wajib turut dilakukan agar ianya lebih telus,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno Khas (EGM) di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada 12 Mei lalu, Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Anwar yang juga Presiden PKR berlangsung di ibu negara.
Najib pada debat itu mencadangkan supaya Petronas menjadi penyelamat kepada Sapura Energy, manakala Anwar mahukan supaya forensik audit dilakukan terhadap syarikat berkenaan. – Malaysiapost

