SEORANG wanita maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala akibat ditimpa serpihan patung batu yang terjatuh dari atas bangunan sebuah kuil di Buntong, Ipoh pagi tadi.
Kejadian 9.50 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 53 tahun itu berada di kuil tersebut bagi mengikuti upacara keagamaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa yang parah di kepala itu telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan kecemasan.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mior Faridalathrsh berkata, insiden itu turut menyebabkan dua lagi wanita cedera ringan.
“Kejadian berlaku di Kuil Arulmigu Visalatchi Sametha Viswanathar Sivalayam Paripalana Sabah, Buntong ketika upacara Sambutan Maha Kumbhabishegam.
“Kes diiklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan satu laporan polis dibuka bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Mohd. Hassbullah Hasan di talian 013-5555585 bagi membantu siasatan.
Sebelum itu, menerusi rakaman upacara sambutan pembukaan kuil berdurasi 20 saat itu tular di media sosial memaparkan sebuah kren menabur bunga dari bahagian atas bangunan kuil sebelum satu objek terjatuh dari atas dan terkena penganut. – Malaysiapost

