Agong berangkat ke Abu Dhabi, beri penghormatan terakhir kepada Presiden UAE

0
1

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini.

Menurut Istana Negara, keberangkatan baginda ke negara tersebut bagi memberi penghormatan terakhir kepada Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan juga Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, yang mangkat pada Jumaat lalu.

“Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada kira-kira jam 4.20 petang,” menurut hantaran Istana Negara.

Turut hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda, Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Kamarudin Jaffar dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria.

Lawatan khas Seri Paduka Baginda ke UAE turut diiringi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Ketua Protokol Wisma Putra Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Datuk Rozainor Ramli.

Sebelum berangkat, Seri Paduka Baginda melalui Kawalan Kehormatan Setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here