PEMANDU treler yang terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kuala Kangsar yang mengakibatkan lima mangsa maut, dikesan mempunyai 22 saman termasuk lapan kesalahan memandu laju.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata susulan kejadian itu pemandu berusia 28 tahun itu telah direman empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini sehingga Ahad depan untuk siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Menurutnya, semakan mendapati pemandu yang berasal dari Jitra itu mempunyai 22 saman atas pelbagai kesalahan trafik dengan lapan saman membabitkan kesalahan pandu laju.
Bagaimanapun katanya, kesemua saman yang direkodkan sejak tahun 2008 hingga 2022 itu telah pun dijelaskan.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek juga negatif mengambil dadah,” katanya.
Dalam kejadian jaml 12.52 tengah malam itu, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terbabit kemalangan membabitkan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar.
Mangsa terlibat dikenali Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20. – Malaysiapost

