DUA daripada lima mangsa yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 246, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berhampiran Kuala Kangsar sudah dikenal pasti melalui proses bedah siasat yang dijalankan.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata mangsa itu adalah penumpang hadapan kereta Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, penumpang belakang sebelah kiri kereta Honda City yang terbakar berkenaan.
Memetik laporan Harian Metro, Mior Faridalathrash berkata dua mangsa itu dikenal pasti melalui kad pengenalan yang ditemukan pada mayat, selain melalui proses bedah siasat yang dilaksanakan Pakar Forensik Hospital Taiping kira-kira jam 2 petang tadi.
Beliau berkata, jenazah kedua-dua rakan itu dibawa ke Masjid Raja Permaisuri Bainun, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini untuk disembahyangkan sebelum terus dibawa balik ke kediaman waris masing-masing pada malam ini.
Ahmad Naim Najmi adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Kaunseling Usas dari Kemaman, Terengganu, manakala Ahmad Akmal, pelajar Diploma Kaunseling Islami Usas dari Parit Buntar, Perak.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Pentadbiran dan Kewangan) Usas Prof Madya Dr Anas Md Yusof berkata, jenazah dua mangsa itu bakal disembahyangkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS malam ini.
Anas berkata, tiga lagi jenazah iaitu Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Iqbal Hasnun Halimi, 23; dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; akan dihantar ke Hospital Taiping untuk semakan lanjut. – Malaysiapost

