FOKUS ekonomi Malaysia lebih kepada ekonomi digital dan teknologi hijau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang kini mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Washington DC, mempelawa pelabur dan ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS) untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.
“Ekonomi digital dan teknologi hijau adalah masa depan semua. Kerana itu kita jadikan kedua-duanya fokus utama kita.
“Mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin terkemuka yang mewakili syarikat Fortune 500 Amerika Syarikat untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang patut diutamakan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ismail Sabri turut menyatakan hasrat agar Malaysia menjadi salah satu negara pengeluar kereta elektrik.
“Hasrat ini boleh dicapai melalui kerjasama Proton-Geely-Volvo.
“Bukan sekadar itu, saya turut mencadangkan agar syarikat gergasi kereta elektrik yang dikenali ramai, Tesla, untuk membuat pelaburan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, melalui pelaburan-pelaburan sedemikian, ekonomi negara dapat dirancakkan sambil menyumbang kepada inisiatif-inisiatif yang lebih mesra alam. – Malaysiapost

