JAKIM siasat dakwaan sembelihan halal di Australia langgar SOP

0
1

JABATAN Kemajuan Islam (JAKIM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan membabitkan sebuah syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata siasatan dilakukan Pegawai Atase Halal JAKIM di Australia dan pihak berkuasa Australia iaitu Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE).

Katanya, perbincangan antara JAKIM dan Kaunselor (Pertanian), Kedutaan Australia di Malaysia diadakan pada 28 April lalu bagi memastikan hasil siasatan diserahkan kepada kerajaan Malaysia secepat mungkin.

“JAKIM tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak jika berlaku kesalahan dan ketidakpatuhan membabitkan proses pensijilan dan pengiktirafan halal,” katanya dalam kenyataan.

Hakimah berkata, JAKIM sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi menyiasat apa juga dakwaan salah laku berkaitan isu itu, termasuk jika ia membabitkan pegawainya.

Beliau menegaskan, JAKIM bersedia bertemu dengan mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh berhubung isu berkenaan demi kepentingan semua pihak.

Semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PEKEMAS) dan Sahabat 99, melaporkan dakwaan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan halal oleh sebuah syarikat di Australia yang mendapat kelulusan JAKIM.

Presiden PEKEMAS, Faizan Mohd Nor, mendakwa ia berdasarkan bukti video dan gambar serta keterangan seorang bekas pekerja sembelihan di syarikat berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here