“Rakyat bersama Umno kerana Umno akan terus bersama rakyat” – Ahmad Zahid

0
1

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pihak yang menyatakan parti itu sudah tidak relevan adalah suatu kesilapan besar dan mereka itu sedang bermimpi di siang hari serta mengandaikan yang mustahil dan bukan-bukan.

Menurutnya, menjangkau usia 76 tahun, Umno sebaliknya umpama pohon besar yang sedang menanti detik kembali berbuah.

Beliau berkata, walaupun parti itu pernah seakan-akan nyaris tumbang, namun ‘akarnya’ begitu utuh lagi kuat dan pohon Umno tetap teguh berpacak memayungi segenap naungannya.

“Umno dilahirkan dengan air mata pengorbanan orang Melayu. Umno dilahirkan di Istana Melayu dan parti terbesar orang Melayu sejak 11 Mei 1946.

“Umno mendepani rancangan Malayan Union oleh British demi ‘survival’ bangsa Melayu. Umno mempertahankan kedaulatan institusi diraja dan Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sempena ulang tahun Umno ke-76 hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Umno turut mengangkat kepentingan Melayu dan memperkasakan syariat agama, kerana itu Umno masih bertapak di hati Melayu disebabkan asas penubuhannya yang jelas.

“Bagaimanapun Umno tidak pernah sama sekali mengenepikan hak bukan Melayu. Sejarah berpuluh tahun Umno mengemudi teras pentadbiran negara sebagai bukti,” katanya.

Beliau menegaskan Umno akan kembali berjuang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dengan perjuangannya yang jauh lebih murni demi sebuah kebenaran dan kewajipan.

“Amalan kita bermuafakat dan tidak berpecah belah. Serumpun bak serai, sesusun bak sireh.

“Insya-Allah rakyat bersama Umno kerana Umno akan terus bersama rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here