KERAJAAN kini memperkenalkan perkhidmatan bersepadu dikenali ‘government hybrid cloud’ atau MyGovCloud sebagai pemacu tranformasi digital sektor awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia berikutan Perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA) dinaiktarafkan kepada perkhidmatan Pengkomputeran Awan (CLOUD) khusus untuk kegunaan seluruh agensi kerajaan.
Menurutnya, teknologi itu menggabungkan perkhidmatan MyGovCloud@PDSA dan Public Cloud oleh Cloud Service Provider (CSP).
Beliau berkata, inisiatif MyGovCloud seiring Inisiatif Kelima di bawah Teras 1 Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang menyasarkan 80 peratus penggunaan storan Pengkomputeran Awan merentas sektor awam pada tahun ini.
“Ia bertujuan memacu transformasi digital sektor awam secara holistik yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi digital dan agenda pendigitalan ke seluruh negara.
“Pemilihan CSP dibuat selepas syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan dalam dan luar negara mengemukakan cadangan (Request for Proposal atau RFP) sebelum penilaian dibuat secara telus melibatkan pelbagai pihak.
“Justeru, hasil penilaian ini, kerajaan bersetuju melantik empat syarikat panel CSP bagi menyediakan perkhidmatan CLOUD yang terbaik, selamat dan terjamin,” katanya.
BACA LAGI: PM ke Washington DC 12 dan 13 Mei ini
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bagi memperkasa MyGovCloud khususnya dalam penyediaan perkhidmatan Public Cloud, Perjanjian Kontrak Berpusat Pengkomputeran Awan dikenali Cloud Framework Agreement (CFA) telah dimeterai.
Ia antara kerajaan dengan CSP serta syarikat penyedia perkhidmatan CLOUD Bumiputera tempatan lantikan CSP dikenali Managed Service Provider (MSP).
“Kontrak CFA bersama-sama kerajaan, CSP dan MSP melibatkan empat syarikat CSP iaitu Amazon Web Services Malaysia Sdn Bhd, Google Cloud Malaysia Sdn Bhd, Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Berhad.
“Empat syarikat MSP terdiri daripada Cloud Connect Sdn Bhd, Enfrasys Solutions Sdn Bhd, Radmik Solutions Sdn Bhd dan Awantec System Sdn Bhd,” katanya.
Tambahnya, penglibatan CSP dan MSP dijangka membuka potensi pelaburan dalam negara bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2025.
“Pelaburan ini akan menjadi ‘tulang belakang’ pembentukan sebuah ekosistem digital yang mampan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi lestari, sekali gus bakal menjadikan Malaysia hab digital utama di rantau ASEAN,” katanya. – Malaysiapost

