Veteran Umno gesa Zahid noktahkan hubungan dengan PAS

0
1

UMNO perlu mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status terkini gagasan Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhnya bersama PAS bagi mengelakkan akar umbi terus terkeliru.

Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Umno wajar menoktahkan hubungan dengan PAS dalam MN dengan mengeluarkan kenyataan rasmi untuk mengelakkan salah faham tentang kewujudan dan kedudukan MN.

“Maka Veteran Umno menyarankan supaya Muafakat Nasional dimatikan dengan secara resmi.

“Justeru itu Veteran Umno mendesak Presiden Umno mengeluarkan kenyataan secara rasmi yang Muafakat Nasional sudah mati dan telah berkubur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mustapha berkata demikian sebagai maklum balas Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan tindakan PAS seperti talam dua muka berikutan tindakan dan keputusan parti itu tidak selari dengan apa yang diungkapkan.

Zahid menegaskan, Umno tidak mahu sahabat yang tidak mempunyai pendirian tetap dalam setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan.

Mengulas mengenainya, Mustapha menjelaskan, pihaknya sedari dulu mahukan MN dibubarkan bagi mengelak ianya dipersendakan dan dipolemikkan.

“PAS yang dengan angkuh sombong meninggalkan Umno dalam MN telah memilih untuk bersama Bersatu dalam PN masih lagi menaruh harapan dan sering membangkit isu MN.

“Kenyataan Takiyuddin yang terbaharu jelas menunjukkan PAS mempermainkan MN,” katanya.

Kelmarin media melaporkan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan pemahaman PAS berdasarkan Piagam MN dan penyatuan ummah bukan hanya terhad kepada parti tertentu saja, sebaliknya dalam piagam itu jelas menyatakan MN boleh disertai mana-mana parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah.

Justeru, Takiyuddin berkata, PAS masih lagi menyeru supaya penyatuan ummah membabitkan semua pihak terutama parti Melayu Islam, parti Bumiputera dan parti bukan Melayu yang tidak ekstrem sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Justeru, Mustapha menegaskan, Veteran Umno mahu pucuk pimpinan parti memberhentikan sandiwara PAS ini dan dengan segera mematikan MN.

“Dengan cara itu juga ianya boleh menyelamatkann maruah PAS dari dituduh ‘gila talak’.

“Umno dan PAS telah berpisah dalam MN. Tidur tidak sebilik lagi. Jadi jangan digantung tidak bertali. Lafazkan talak. Ceraikan talak tiga,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here