Lokasi debat tidak penting, peluang untuk Anwar buktikan masih relevan – Puad Zarkashi

0
1

PEMILIHAN lokasi perdebatan antara Datuk Seri Najib Razak dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar dipolitikkan.

Sebaliknya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, intipati daripada perdebatan tersebut lebih penting dan diinginkan rakyat.

“Kenapa PKR polimikkan lokasi debat Najib-Anwar? Yang penting debat diteruskan. Rakyat mahukan debat yang ada isi dan ilmiah.

“Rakyat tidak mahu sorakan, tepuk tangan dan boo yang kuat jadi ukuran siapa pemenang debat. Sebab itu jangan lari tajuk dan dipenuhi dengan “political statement” sahaja,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Rengit berkata demikian sebagai maklum balas dakwaan pihak PKR berkenaan lokasi perdebatan yang bakal berlangsung 12 Mei ini.

Terdahulu Ketua AMK Pulau Pinang Fahmi Zainol melahirkan rasa terkilan dengan halangan yang dikenakan terhadap usaha Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) untuk menganjurkan Debat Perdana antara dua tokoh politik negara itu.

Fahmi mendakwa, ketika ada pihak yang seronok menghalang dan mengenakan sekatan terhadap sekumpulan anak muda, ia sebenarnya telah menyebabkan negara terpaksa mengambil satu ‘langkah lagi ke belakang’.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, PKR tidak sepatutnya mengeluh berhubung pertukaran lokasi debat itu, sebaliknya wajar memanfaatkannya untuk membuktikan presiden parti itu masih relevan dalam politik negara.

“Elok Fahmi Zainol nasihatkan bos dia Anwar Ibrahim supaya berdebat dengan serius dan buktikan dia masih layak jadi PM bukan PM tepi.

“MATIC dan UM tetap sama. Apa ada masalah. MATIC juga layak jadi tempat bebas dan ilmiah. 2008 berlaku debat antara Ahmad Shabery Ceek-Anwar di Dewan Bahasa dan Pustaka,” katanya.

Terdahulu, program debat yang akan berlangsung pada 12 Mei ini itu terpaksa diubah ke lokasi baharu iaitu di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) selepas pihak universiti dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaannya di Dewan Tunku Canselor, UM.

Difahamkan, sesi perdebatan itu akan disiarkan secara langsung oleh media rasmi melalui saluran televisyen dan media sosial yang akan diumumkan kemudian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here