Padah curi-curi pandu MPV tanpa pengetahuan bapa

0
1

POLIS mengesahkan remaja berusia 16 tahun telah memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) tanpa pengetahuan bapanya terbabit dalam nahas merempuh dua pemotong rumput di Jalan Pintasan Semeling, Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian itu, salah seorang pemotong rumput itu maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata polis sudah mengambil keterangan daripada remaja terbabit yang juga sudah dibebaskan.

“Kertas siasatan kes sedang dilengkapkan dan kita akan merujuknya ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut. Setakat ini, ujian air kencing terhadap remaja berkenaan mendapati dia bebas pengaruh dadah,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Zaidy berkata, hasil pemeriksaan mendapati remaja yang juga pelajar di sebuah sekolah menengah itu menggunakan MPV berkenaan tanpa pengetahuan bapanya.

“Siasatan awal mendapati bapa remaja terbabit tiada di rumah kerana menghadiri majlis perkahwinan. Kita difahamkan kunci kenderaan ditinggalkan di rumah dan kesempatan itu diambil remaja itu untuk memandu MPV terbabit tanpa pengetahuan bapanya,” katanya.

Setakat ini, katanya, siasatan mendapati remaja itu memandu laju sehingga hilang kawalan serta terbabas dan merempuh dua pokok sebelum merempuh pula dua pekerja pemotong rumput yang ketika itu sedang berehat di bahu jalan.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, seorang pekerja pemotong rumput warga Myanmar, Cinglowpa, 20, meninggal dunia akibat parah di kepala, manakala rakan senegara berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh MPV ketika sedang berehat di bahu jalan.

Ketika kejadian, mangsa yang meninggal dunia sedang duduk atas rumput, manakala rakannya yang parah pula berada atas motosikal yang diletakkan di bahu jalan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here