UMNO kekal dengan pendirian bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tanpa kerjasama dengan mana-mana parti selain daripada Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Memetik laporan Berita Harian, Setiausaha Agung Umno itu berkata setakat ini tiada keputusan dibuat berhubung hala tuju dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan selagi tiada ketetapan terbaharu dibuat, mereka akan kekal bergerak solo.
Tegasnya, apabila sudah ada keputusan muktamad dibuat nanti, Umno setiap negeri mestilah patuh terhadap ketetapan itu.
“Setakat ini, Umno mengambil haluan seperti apa yang berlaku pada PRN Melaka dan Johor apabila Ummo dan BN bergerak solo sehinggalah satu keputusan muktamad dicapai nanti,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pontian hari ini.
Ahmad menjelaskan tindakan PAS bersama dengan Perikatan Nasional (PN) dan bekerjasama dengan Bersatu menyebabkan parti itu tidak lagi mahu meneruskan sebarang perbincangan dengan menyifatkan hubungan tersebut tidak lagi subur.
“MN belum mati namun tidak subur kerana kejadian (pada PRN) Melaka dan Johor, apabila PAS memilih bersama Bersatu walaupun Umno sudah membuat tawaran.
“Untuk suburkan kembali (MN) pun kita tak buat keputusan lagi pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).
“Ini kerana apa-apa keputusan besar perlu dibuat MKT. Setakat ini belum ada sebarang perbincangan, malah mesyuarat baru-baru ini tidak dibangkitkan mengenai perkara itu,” katanya. – Malaysiapost

