
MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menasihatkan ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid sebelum tarik akhir 15 Mei ini.
Menerusi ciapan di Twitter, Khairy mengingatkan ibu bapa yang anak mereka belum divaksinasi untuk mengambil peluang melindungi anak daripada jangkitan Covid-19.
“Tinggal lapan hari lagi sebelum pendaftaran #PICKids dos pertama tutup. Ambillah peluang untuk melindungi anak anda dari Covid-19, MIS-C dan lain-lain komplikasi akibat jangkitan.
“Lebih 1.5 juta kanak-kanak sudah dicucuk (divaksinasi) di Malaysia. Terbukti selamat!” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan, kerajaan tidak akan lagi memberikan dos pertama vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bermula 16 Mei ini.
KKM menggesa ibu bapa yang masih belum memutuskan sama ada anak mereka perlu divaksin atau tidak, perlu berbuat demikian sebelum tarikh itu.
Ibu bapa juga perlu mendaftarkan anak mereka untuk menerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera selewat-lewatnya 8 Mei ini agar temu janji dapat ditetapkan sebelum tarikh akhir iaitu 15 Mei. – Malaysiapost
