Kalah kali ketiga, penyokong Kedah mahu Aidil dihantar pulang ke Singapura

0
2

GERAM dengan kekalahan ketiga selepas tujuh perlawanan, penyokong Kedah Darul Aman mahu pihak pengurusan mengambil langkah drastik menggantikan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

Selepas tewas 1-4 dan 0-4 masing-masing kepada Selangor dan Sabah sebelum ini, malam tadi giliran Melaka United FC memalukan skuad Hijau Kuning di Alor Setar.

Walaupun mendahului lawan 2-1, Kedah gagal mempertahankan kelebihan itu apabila membenarkan lawan bangkit dengan gol kemenangan dijaringkan Ifedayo Omosuyi pada masa kecederaan.

Susulan itu penyokong Kedah meluahkan rasa kecewa di laman Facebook rasmi kelab dan meminta agar pengurusan membuat sesuatu bagi membetulkan keadaan.

Rata-rata peminat kesal kerana selepas empat musim membimbing Kedah, prestasi pasukan dikatakan semakin menurun.

“KDA FC elok hantar Aidil ke Airport. Teruskan musim ini dengan Victor Andrag sebagai jurulatih sementara,” tulis Mike KeCheq.

“Airport bakpanya, hantar terminal teksi Mergong cukuplah,” balas Yahaya Ibrahim.

Sementara itu Harian Metro melaporkan, Aidil meluahkan rasa kecewa apabila skuad Sang Kenari menerima kekalahan berganda selepas dikecewakan Melaka United.

Menurutnya, walaupun dua kali mendahului lawan pada babak pertama, skuadnya dilihat leka lalu membuka ruang buat lawan mengasak sehingga dibolosi ke minit akhir.

“Melepaskan kemenangan pada perlawanan ini adalah sesuatu yang saya tidak boleh terima dan saya fikir kami menghadapi kesilapan individu dan belum belajar dari kesilapan lalu dengan membiarkan lawan mendapatkan gol.

“Sepatutnya kami perlu menyekat lawan sebaik mendahului 2-1 namun kami pula hilang fokus sejak Melaka menyamakan kedudukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here