Trafik dari pantai timur hala KL mula meningkat

0
2

ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menyarankan pengguna untuk terus mengikuti Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan apabila merancang untuk kembali ke Kuala Lumpur.

Menurut Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, aliran trafik kembali ke Lembah Kelang mula menunjukkan peningkatan sejak 3 Mei lalu.

“Kita dapat lihat, jumlah kenderaan yang mula keluar daripada Lebuhraya KLK dan LPT1 arah Kuala Lumpur mula meningkat, sekali gus mencadangkan kemungkinan pengguna telah mula kembali ke ibu kota memandangkan cuti umum yang diumumkan Perdana Menteri berakhir pada 5 Mei lalu.

“Sehubungan itu ANIH Berhad mengingatkan pengguna untuk tetap mengikuti TTA yang telah dikeluarkan bagi memastikan keselesaan dan kelancaran perjalanan mereka,” katanya hari ini.

Menurutnya lagi, kepatuhan pengguna terhadap TTA meningkat hampir 74 peratus berbanding hanya 55 peratus sejak mula diumumkan minggu lalu.

Susulan itu katanya, ia telah melancarkan operasi pengurusan lebuhraya KLK dan LPT1 terutama dalam memastikan keselesaan pengguna di R&R dan Hentian Sebelah sepanjang tempoh tersebut.

“Sejak 29 April hingga 5 Mei setakat jam 4 petang, jumlah kenderaan di KLK direkodkan sebanyak 1.15 juta, manakala di LPT1 pula mencatat 570,398 kenderaan dalam tempoh sama.

“Sungguhpun begitu, keadaan di kawasan R&R dan Hentian Sebelah di kedua-dua lebuh raya ini terkawal.

“Kami yakin, di samping kesediaan petugas kami, kepatuhan kepada TTA oleh pengguna sedikit sebanyak menyumbang kepada keselesaan semua dalam tempoh tersebut,” kata Radzimah.

Katanya lagi, walaupun tol percuma akan diberikan kepada pengguna pada 7 Mei bermula jam 12 tengah malam sehingga 8 Mei 11.59 malam ini, pengguna diingatkan untuk tetap menyentuh kad Touch N’Go di plaza tol, dan memastikan baki dalam e-Wallet, kad Touch N’Go atau SmartTag mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya.

“ANIH Berhad juga menasihatkan pengguna untuk mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan dan di sepanjang perjalanan jika perlu di R&R dan Hentian Sebelah lebuh raya,” katanya.

Untuk maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini, sila rujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT -Line di 1-700-818-700. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here