YANG di-Pertuan Agong berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Presiden Republik Turki, Recep Tayyip Erdogan di Istana Negara, semalam.
Perbualan selama 20 minit bermula jam 5 petang, menyaksikan Seri Paduka Baginda dan Erdogan masing-masing bertukar menzahirkan ucapan selamat menyambut Aidilfitri, kongsi media sosial Istana Negara.
Seri Paduka Baginda, bagi pihak Raja Permaisuri Agong, turut menzahirkan ucapan kepada Emine Erdogan, isteri kepada Presiden Republik Turki.
“Kedua-dua pemimpin turut menzahirkan rasa kegembiraan dengan hubungan dua hala yang terjalin kukuh antara Malaysia dan Turki dalam pelbagai bidang kerjasama berkepentingan termasuk ekonomi dan perdagangan,” tulis hantaran itu.
Dalam perbualan tersebut, Seri Paduka Baginda telah menyampaikan persetujuan untuk berangkat melakukan Lawatan Negara ke Republik Turki pada suku ketiga tahun ini.
Seri Paduka Baginda turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Erdogan atas pembukaan Hagia Sophia Grand Mosque di Istanbul, buat pertama kalinya dalam 88 tahun, untuk ibadat solat sunat Tarawih bermula pada 1 April 2022.
Seri Paduka Baginda menyifatkannya sebagai detik bersejarah kepada rakyat beragama Islam di Republik Turki dan juga seluruh dunia.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, masing-masing bertukar menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya, termasuk kepada ahli keluarga. – Malaysiapost

