Kes saman Apandi: Tun M tak setuju penyelesaian luar mahkamah

0
3

TUN Dr Mahathir Mohamad menyatakan rasa terkejut berhubung berita satu penyelesaian di luar mahkamah dibuat antara kerajaan dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, baru-baru ini.

Malah bekas Perdana Menteri itu berkata beliau juga tidak faham kenapa terma penyelesaian dirahsiakan dan tidak dimaklumkan walaupun merupakan saksi utama.

Sehubungan itu Dr Mahathir berkata, beliau menulis kepada Peguam Negara untuk menyatakan tidak bersetuju dengan cara penyelesaian tersebut dibuat.

“Saya berasa kerajaan tidak sepatutnya tunduk memandangkan bahawa tindakan penamatan perkhidmatan Apandi mengikut semua urusan dan kuasa yang ada pada kerajaan.

“Saya tidak faham kenapa terma penyelesaian harus dirahsia dari saya serta rakyat. Rakyat berhak tahu. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pampasan.

“Apakah pampasan perlu dibayar jika tindakan dibuat mengikut undang-undang? Di mana prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau berpendapat penyelesaian memberi pampasan besar itu untuk seseorang yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik adalah amat dikesali di waktu mana sekalipun.

“Saya tidak mengaku salah dan bersedia untuk tuntutan Apandi diadili di mahkamah,” katanya lagi.

Terdahulu Apandi memfailkan tuntutan di mahkamah terhadap Dr Mahathir setelah beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Apandi mendakwa Dr Mahathir berniat jahat dan tidak mengikut undang-undang dalam menamatkan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara setelah dilantik Perdana Menteri pada tahun 2018.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menjelaskan beliau telah memberi kenyataan kepada pihak Peguam Negara.

Ahli Parlimen Langkawi itu mempertahankan tindakannya dan percaya beliau telah mengikut prosedur ditetapkan dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan perkhidmatan Apandi.

“Pada masa itu saya berasa Tan Sri Apandi tidak dapat bertindak bebas kerana beliau merupakan peguam Umno sejak sekian lama.

“Dia tidak mungkin dapat berlaku adil dalam siasatan terhadap 1MDB dan salahlaku Datuk Seri Najib (Razak). Malahan dia telah kata Najib tidak bersalah kerana kononnya tiada kes, sebelum apa-apa siasatan dibuat.

“Sikap berat sebelah Apandi ini terbukti apabila Najib didapati bersalah oleh hakim Mahkamah Tinggi dan Rayuan dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta,” katanya lagi.

Menurut Dr Mahathir, semasa beliau memberi keterangan kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi persediaan kes saman Apandi terhadapnya, beliau telah dimaklumkan bahawa proses penamatan perkhidmatan itu betul dan mengikut prosedur.

“Mereka maklumkan bahawa saya dan kerajaan telah memberi nasihat betul pada Yang di-Pertuan Agong supaya Tan Sri Apandi Ali ditamatkan perkhidmatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here