SEKURANG-KURANGNYA 18 kawasan sekitar Melaka Tengah dilanda banjir kilat susulan hujan lebat kira-kira sejam bermula jam 7 pagi tadi, mengakibatkan beberapa rumah penduduk ditenggelami air.
Antara kawasan terlibat adalah Sungai Putat, Banda Kaba, Banda Hilir, Jalan Ong Kim Wee, Jalan Tun Ali, Melaka Baru, Jalan Kubu, Batu Berendam, Melaka Sentral, MITC Ayer Keroh, Batu Hampar, Kampung Hulu, Taman Cempaka, Bukit Beruang Bestari dan Kampung Telok.
Melaka Hari Ini melaporkan, Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Melaka Tengah, Kapten (PA) Awang Bohari Awang Ahet berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat jam 10 pagi tadi.
“Hujan lebat sejak pagi tadi mengakibatkan air sungai melimpah pada jam 7 pagi ke kawasan rumah penduduk yang rendah berdasarkan maklumat orang ramai dan pemantauan anggota APM.
“Bagaimanapun, sehingga jam 10 pagi tiada pusat pemindahan dibuka daripada tujuh kawasan yang dilaporkan terjejas, sebaliknya penduduk hanya keluar dan tunggu di bahu jalan sehingga air surut kerana hujan juga telah berhenti,” katanya.
BACA LAGI: Trafik dari pantai timur hala KL mula meningkat
Sementara itu di Johor, Bernama melaporkan seramai 51 mangsa banjir kilat di daerah Pontian masih berada di dua PPS setakat 8 pagi tadi, selepas satu PPS ditutup semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pontian memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunian yang menempatkan 117 individu daripada 20 keluarga ditutup pada pukul 6 petang semalam.
“Dua PPS yang masih beroperasi iaitu SK Seri Bukit Panjang menempatkan 32 individu daripada tujuh keluarga, manakala SK Melayu Raya pula 19 individu daripada empat keluarga,” menurut kenyataan itu.
Hujan lebat berterusan pada dua hari lalu menyebabkan beberapa rumah di Kampung Seri Segambut, Kampung Bukit Panjang dan Kampung Jasa Sepakat dinaiki air. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Rifaie Tan

