Lelaki cedera kejar suspek pecah kereta

0
2

SEORANG lelaki cedera ketika cuba mengejar suspek yang memecah cermin kereta sebelum melarikan barangan berharga miliknya di Damansara Perdana di Petaling Jaya, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu dirakam dan dimuat naik pengguna laman sosial TikTok yang berada di tempat kejadian sebelum tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata mangsa berusia 30-an membuat laporan mengenai kejadian itu pada jam 4.30 petang hari sama di Balai Polis Damansara.

“Mangsa memaklumkan dia nampak seseorang sedang menendang cermin kereta sebelah penumpang hadapan sehingga pecah sebelum melarikan beg kerjanya yang mengandungi komputer riba serta barangan peribadi.

“Mangsa kemudian menjerit menyebabkan suspek terus lari masuk ke dalam sebuah kereta dan cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun mangsa terus mengejar kereta suspek sebelum berlaku pergelutan sehingga beg mangsa terjatuh dari kereta suspek,” katanya menerusi kenyataan.

Ku Mashariman berkata, mangsa cedera ringan akibat kejadian itu manakala kerugian dianggarkan RM500.

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun sehingga mendatang kecederaan.

“Saksi yang mempunyai maklumat diminta tampil di mana-mana balai polis atau hubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662176 untuk membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here