Cubaan seludup mercun melalui jalan laut gagal

0
2

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan merampas 21 bungkusan plastik hitam berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api berhampiran Sungai Kemasin, di Pasir Puteh, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, berkata rampasan itu dibuat hasil maklumat risikan bot peronda Maritim Malaysia yang sedang beroperasi melakukan pemantauan.

“Setibanya di lokasi pada jam kira-kira 4.20 pagi, pasukan operasi Maritim Malaysia berjaya mengesan sebuah bot yang mencurigakan.

“Menyedari kehadiran penguat kuasa, bot berkenaan bertindak cuba meloloskan diri dengan memasuki perairan lebih cetek di Sungai Kemasin.

“Atur gerak kejar buru berhasil menemukan bot tersebut, namun penjenayah sekali lagi melarikan diri dengan licik sehingga tidak berjaya dikesan,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: Op Pagar Laut berjaya kumpul nilai rampasan RM10.6 juta

Beliau berkata, bot penguatkuasa seterusnya berpatah balik ke lokasi pertemuan asal bot berkenaan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat lebih kurang 21 plastik hitam mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api yang cuba diseludup masuk daripada negara jiran.

“Mercun dan bunga api ini dipercayai dibawa masuk kerana mendapat permintaan yang tinggi sempena sambutan Aidilfitri pada awal Mei nanti,” katanya.

Menurutnya, berikutan operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh agensi berkuasa lain di sepanjang Sungai Golok dan juga di sempadan bahagian darat, Malaysia – Thailand, terdapat penyeludup yang cuba mengubah modus operandi mereka dengan mengikut jalan laut dan Maritim Malaysia berjaya menghidu kegiatan itu.

“Rampasan keseluruhan mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM8,240 mengikut nilai pasaran semasa dan semua barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957.

“Maklumat berkenaan penguatkuasaan dan carilamat boleh disalurkan melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here