Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan mengenai lima konsortium yang diumumkan berjaya memperoleh lesen bank digital semalam yang didakwanya hanya membabitkan satu konsortium milik bumiputera.
Menurutnya, konsortium besar yang mendapat lesen berkenaan tambahan konsortium luar negara dikhuatiri tidak akan tolong rakyat biasa yang berniaga pasar malam, jual gorengan, buka warung tepi jalan di kawasan-kawasan luar bandar.
“Semalam kerajaan umum lima syarikat dapat lesen bank digital. Matlamat utama bank digital ialah utk sediakan servis, bantu, mendidik golongan rakyat yang terpinggir dan tertinggal oleh bank konvensional.
“Bank digital tak ada cawangan. Tak ada ibu pejabat. Semua ini tak ada! Ianya adalah suatu teknologi kewangan dgn pelanggannya hanya guna telefon bimbit. Nombor akaun ada di tangan kita. Semua transaksi guna telefon bimbit,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, daripada lima syarikat yang mendapat lesen hanya satu milik bumiputera dan pihaknya yakin banyak terdapat syarikat bumiputra yang terlebih layak untuk diberi lesen berkenaan, namun ia isu berlainan yang boleh dibahas kemudian.
BACA LAGI: BNM umum 5 konsortium peroleh lesen Bank digital
“Saya tidak terfikir konsortium besar yang dapat lesen ini akan tolong rakyat biasa yang berniaga pasar malam, jual gorengan, buka warung tepi jalan di Baling, Padang Terap, Bachok, Hulu Terengganu.
“Apa lagi konsortium ini ada yang pejabat mereka di Singapura. Syarikat mereka tersenarai di sana dan di Amerika. Kerajaan Malaysia beri mereka lesen bank digital untuk beroperasi di Malaysia.
“Bank digital ini paling kurang mesti orientasinya ikut memainkan peranan macam Gramin Bank dan Amanah Ikhtiar. Membela golongan terpinggir dan tertinggal oleh bank konvensional,” katanya.
Semalam Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan daripada 29 permohonan, lima konsortium diumumkan berjaya memperoleh lesen bank digital.
Tiga daripada konsortium tersebut ialah Konsortium Boost Holdings Sdn Bhd.dan RHB Bank Berhad; konsortium diterajui GXS Bank Pte LTd dan Kuok Brothers Sdn Bhd serta Konsortium diterajui Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd yang akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK).
Manakala dua lagi konsortium adalah Konsortium AEON Financial Service Co Ltd, AEON Credit Service (M) Berhad dan MoneyLion Inc.; dan Konsortium diterajui KAF Investment Bank Berhad dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI).
Menurut BNM, tiga daripada liga konsortium lesen bank digital itu dimiliki secara majoriti oleh warga Malaysia iaitu Boost Holdings dan RHB Bank; Sea Limited dan YTL Digital Capital serta KAF Investment. – Malaysiapost

