MUSIM perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, pengguna jalan raya di daerah Kluang, Johor termasuk di Jalan Batu Pahat – Mersing diingatkan agar sentiasa berhati-hati terutama di kawasan lintasan haiwan liar seperti gajah dan tapir.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, berkata ia bagi mengelakkan kejadian tidak diingini atau kemalangan.
Menurutnya, terbaharu pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 70 Jalan Batu Pahat – Mersing susulan cuba mengelak seekor gajah yang melintas jalan.
“Pada Khamis lalu kira-kira jam 9 malam, satu kemalangan berlaku di laluan berkenaan membabitkan Perodua Alza dipandu wanita berusia 21 tahun dari arah Kluang dengan Proton Saga dipandu lelaki tempatan dari arah sama.
“Wanita terbabit telah menekan brek mengejut kerana mengelakkan gajah yang melintas jalan, makanala kereta dibelakangnya gagal mengelak dan melanggar Perodua Alza berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA LAGI: Kes penipuan guna aplikasi Telegram masih berlaku
Beliau berkata, kedua-dua kenderaan terbabit mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan berlaku dan kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah Lalulintas LN 166/59.
“Dengan bermulanya musim perayaan Aidilfitri tahun ini, Polis Kluang menyeru supaya semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dengan berhemah, berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya.
“Pengguna jalan raya di daerah Kluang juga dinasihatkan supaya berwaspada di jalan raya tertentu di mana ada lintasan haiwan liar seperti gajah, tapir dan lain-lain,” katanya. – Malaysiapost

