POLIS Johor telah menerima beberapa aduan dari syarikat yang mendakwa email syarikat berkenaan diceroboh oleh pihak yang menyamar sebagai rakan niaga dan mengarahkan pembayaran pembekalan dibuat ke akaun bank lain atas alasan akaun yang biasa digunakan bermasalah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor Asisten Komisioner Amran MD Jusin, berkata bagi tempoh 1 Januari hingga 27 April lalu sebanyak Dua kes pencerobohan email perniagaan dilaporkan di Johor membabitkan kerugian RM802,890.
Menurutnya, selepas diminta membuat pembayaran ke akaun baharu mangsa yang tanpa persoalan atau keraguan telah membuat pembayaran dan hanya menyedari ditipu selepas rakan niaga sebenar memaklumkan bayaran masih belum diterima.
“Modus operandi kes pencerobohan email perniagaan ini adalah suspek akan menghantar email yang menyerupai email sebenar rakan niaga mangsa.
“Suspek akan mengarahkan mangsa mangsa membuat bayaran ke akauan bank lain dan bukan akaun bank yang biasa digunakan rakan niaga berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
BACA LAGI: Kes penipuan guna aplikasi Telegram masih berlaku
Beliau berkata, walaupun berdasarkan statistik kes sedemikian menurun berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu lapan kes dengan kerugian RM3,436,150, namun ia Masih berlaku dan mengakibatkan kerugian kepada mangsa.
“Sehubungan itu, orang ramai terutama peniaga yang berkomunikasi dengan rakan niaga melalui email untuk lebih berhati-hati apabila menerima email terutama membabitkan perubahan akaun pembayaran bagi transaksi kewangan.
“Orang ramai perlu menyemak alamat email diterima bagi memastikan ia dihantar oleh rakan niaga sebenar dan hubungi rakan niaga bagi mengesahkan mengenai pertukaran nombor akaun pembayaran.
“Orang ramai juga diingatkan agar tidak menekan pautan atau memuat turun aplikasi yang meragukan yang diterima melalui email terutama yang membabitkan pendedahan ‘username’ dan ‘password’ akaun bank,” katanya.
Menurutnya, pihak syarikat juga perlu memastikan komputer syarikat dilengkapi dengan antivirus dan sentiasa dikemaskini serta menggunakan kata laluan yang kuat dan ditukar secara berkata. – Malaysiapost

