SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan penghargaan kepada Rokiah Senin di atas persembahan lauk rendang ayam kepada Baginda untuk santapan berbuka puasa, semalam.
Rokiah dan keluarganya merupakan antara mangsa ribut yang melanda Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada Julai 2021 hingga menyebabkan kediaman mereka rosak teruk di Kampung Sentosa.
Keluarga mereka kemudian menerima kurniaan bantuan kos pembaikan rumah secara keseluruhan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), bersama 13 kediaman lain.
“Saya berterima kasih kepada Mak Cik Rokiah kerana menghantar lauk. Saya amat menghargai keikhlasannya, dan Alhamdulilllah sedap air tangannya.
“Jangan terhutang budi dengan saya, berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin kepada rakyat, saya sentiasa membantu rakyat saya yang memerlukan.
“InsyaAllah, jika berkelapangan pada lain kali, saya singgah makan di rumah Mak Cik Rokiah,” titah baginda seperti dilaporkan Royal Press Office (RPO).
Sementara itu, Rokiah, ketika ditemui berkata, dia dan keluarganya amat bersyukur di atas kurniaan bantuan daripada YSIJ, menyerikan lagi suasana Aidilfitri yang bakal menjelang.
“Saya sangat bersyukur, kerana daripada bencana yang menimpa kami, datang pula kurniaan bantuan daripada Tuanku Sultan yang menyinari semula kehidupan kami.
“Ketika Baginda berangkat melawat rumah kami ketika bencana, saya amat segan sebab tidak dapat menghidang air kepada Tuanku.
“Justeru, saya menghantar lauk ini sebagai penghargaan dan kesyukuran saya diatas bantuan dikurniakan kepada saya dan keluarga,” katanya. – Malaysiapost

