DAP gesa PM, Peguam Negara perjelas peletakan jawatan Syed Zaid

0
2

DAP menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memberi penjelasan penuh berhubung peletakan jawatan Datuk Syed Zaid Syed Jaffar Albar sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Pengerusi DAP Lim Guan Eng, berkata pihaknya terkejut dengan peletakan jawatan mengejut Syed Zaid selepas hanya enam bulan beliau dilantik semula sebagai Pengerusi Eksekutif SC untuk penggal kedua.

“DAP menzahirkan rasa terkejut dengan peletakan jawatan mengejut Syed Zaid sebagai Pengerusi Eksekutif SC hanya enam bulan selepas beliau dilantik semula untuk penggal kedua pada 1 November 2021.

“Kedua-dua Perdana Menteri dan Peguam Negara perlu memberi penjelasan penuh mengenai peletakan jawatan mengejut Syed Zaid dan penggantian segeranya dengan seorang ahli Umno,” katanya menerusi Facebook.

Guan Eng berkata, peletakan jawatan Syed Zaid itu didakwa berkait dengan keputusan kontroversi Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan jenayah terhadap syarikat perkhidmatan minyak dan gas, Serba Dinamik Holdings Bhd, dan empat eksekutif kanannya.

Baru-baru ini, SC membuat laporan polis terhadap Serba Dinamik atas dakwaan menuduhnya bertindak dengan niat jahat dan tidak mengikut prosedur dalam melaksanakan tugasnya.

Menurut SC, kandungan pengumuman Serba Dinamik mungkin mempunyai kesan yang mengelirukan orang ramai atau menimbulkan imej yang negatif terhadap SC dan pegawainya.

Sebelum ini, SC mengenakan denda maksimum berjumlah RM3 juta terhadap setiap seorang pegawai Serba Dinamik membabitkan ketua pegawai eksekutif, pengarah eksekutif dan dua pegawai kerana menghantar penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, Serba Dinamik mempersoalkan motif SC mengenakan tuduhan terhadap syarikat itu.

Susulan representasi Serba Dinamik kepada Jabatan Peguam Negara, Peguam Negara, pada 7 April bersetuju dengan denda terhadap semua tuduhan.

Semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan pelantikan Datuk Dr Awang Adek Hussin sebagai Pengerusi Eksekutif SC baharu bermula 1 Jun ini bagi menggantikan Syed Zaid yang meletakkan jawatan berkuat kuasa 31 Mei ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here