BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Pakatan Harapan (PH) masih mengitar semula propaganda pembelian kapal selam, dan pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu.
Menurutnya, isu berkenaan kembali dimainkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Veteran DAP, Lim Kit Siang baru-baru ini.
“Kononnya kerajaan perlu buka semula siasatan ke atas isu ini sebab satu hakim di mahkamah Perancis mahu dakwa syarikat Thales dengan rasuah.
“Sebenarnya, Perancis telah siasat isu ini sejak tahun 2010. Sekarang pun masih siasat dan belum didakwa secara rasmi,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Najib berkata, berkaitan dakwaaan membeli kapal selam beliau menafikan terlibat dalam pembelian tersebut.
Ia kerana ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri terlibat pembelian kapal selam dan berunding dengan Perancis.
Beliau juga menjelaskan mengapa salah satu daripada tiga kapal selam yang dibeli ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) diletakkan di Muzium Melaka.
“Terdapat tiga kapal selam yang diterima oleh Malaysia dari negara Perancis – bukan dua sahaja. Dan yang dipamerkan di Muzium itu adalah kapal selam kelas Agosta – bukan Scorpene.
“Masa kita tandatangani perjanjian pembelian dua buah kapal selam kelas Scorpene dari negara Perancis pada tahun 2002 (ya, masa PM ke-4), penjual juga bersetuju untuk membekal satu lagi kapal selam kelas Agosta untuk tujuan melatih TLDM dari tahun 2005 hingga tahun 2009.
“Oleh kerana kapal selam latihan itu sudah lama, negara Perancis bersetuju untuk menghadiahkannya kepada Malaysia dalam satu majlis pada tahun 2011,” katanya.
Mengulas berkenaan pembunuhan Altantuya, Najib menegaskan tiada bukti yang menunjukkan beliau terlibat dengan kematian wanita itu.
Katanya, kes berkenaan turut dibicarakan sehingga ke mahkamah Persekutuan semasa pemerintahan PH dan Perikatan Nasional (PN).
“Dia (Altantuya) girlfriend Razak Baginda – bukan saya. Saya pun tak pernah bertemu ataupun mengetahui wujudnya Altantuya sehingga dia dibunuh.
“Paling kelakar ialah tohmahan PH ialah Altantuya yang asalnya dari Mongolia dan belajar di Rusia telah digunakan oleh kerajaan Malaysia sebagai penterjemah bagi rundingan dengan Perancis.
“Seolah-olah negara Perancis yang mahu jual kapal selam bernilai berbilion Ringgit tidak fasih atau tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan perlu ada penterjemahan Rusia.
“Memang pelik bahawa ramai juga telah percaya tohmahan ini begitu lama,” katanya. – Malaysiapost

