SEBUAH bot nelayan tempatan kelas C yang dikendalikan empat kru warga Myanmar ditahan berhampiran Pulau Jarak, Lumut ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak, semalam kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan di zon yang tidak dibenarkan
Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman, berkata tangkapan berkenaan dilakukan oleh KM Nyalau dalam melaksanakan Op Khas Pagar Laut di sempadan perairan negara pada jam 8 pagi semalam.
Menurutnya, hasil penggeledahan pasukan operasi mendapati, bot itu dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga Myanmar yang memiliki dokumen pengenalan diri dan berusia dalam lingkungan umur 40 hingga 44 tahun.
“Bot berkenaan ditahan di kedudukan 7.8 batu nautika barat laut Pulau Jarak dan dikesan melakukan aktiviti penangkapan ikan di zon yang tidak dibenarkan iaitu pada kedudukan 15 batu nautika yang melanggar syarat sah lesen.
“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bot dan kru serta hasil tangkapan ikan dianggarkan 200 kilogram (kg) kemudian diiring ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sitiawan, Perak untuk proses penahanan.
“Siasatan dan tindakan lanjut akan dilaksanakan oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia.
“Penahanan ini membuktikan Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun Aidilfitri bakal menjelang,” katanya. – Malaysiapost

