AKTIVIS dan pereka grafik kontroversi, Fahmi Reza menjual karyanya dalam bentuk token non-fungible (NFT) yang dinamakan ‘Monyet Istana’ dan setakat pagi tadi telah berjaya meraih kutipan sebanyak 23.4 BNB atau RM41,450.
Pada kadar tukaran semasa, 1BNB adalah RM1,743 dan karya berkenaan sudah dijual bermula 27 April lalu dan akan tamat pada jam 9 malam ini.
Fahmi turut berkongsi perkembangan jualan NFT berkenaan di laman Facebooknya.
“Hasil jualan Monyet Istana NFT selepas 36 jam (9 pagi). Jumlah pemilik token: 311; jumlah NFT yang dijual: 465; jumlah kutipan: 23.4 BNB; hasil sumbangan: RM41,450.
“Jualan tamat pada jam 9 malam ini,” katanya dalam satu hantaran.
Pereka grafik berkenaan dilaporkan mengumumkan untuk menjual Monyet Istana sebagai NFT untuk mengumpul dana bagi membantu orang lain mendapatkan bantuan guaman pada 24 April lalu.
Karya itu dijual pada harga 0.05 BNB, dengan semua hasil akan disalurkan kepada Dana Pertahanan Undang-undang Kebebasan Bersuara.
Dana undang-undang itu akan membantu menyokong rakyat Malaysia yang disiasat dan didakwa kerana menggunakan hak mereka untuk kebebasan bersuara.
Sebelum ini, Fahmi enggan menjual karya seninya sebagai NFT kerana dia tidak melakukan karya seninya untuk mendapatkan keuntungan. Fahmi berkata karya seninya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran politik secara percuma. – Malaysiapost

