Zahid terharu pengeluaran khas KWSP beri manfaat kepada rakyat

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kesyukuran berikutan pengeluaran khas RM10,000 secara ‘one off’ caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan.

Justeru, beliau menasihati orang ramai tidak mensia-sia segala desakan dan tekanan yang terpaksa dilakukan Umno sebelum ini bagi memastikan pengeluaran khas itu menjadi kenyataan.

“Saya di Tanah Suci berasa tersentuh apabila dimaklumkan tentang kisah seorang anak muda di Tawau memberi semua wang pengeluaran khas KWSP kepada ibunya.

“Pemuda itu dikatakan mahu menghargai ibu yang membesarkannya walaupun menyedari wang RM10,000 tidaklah mampu menandingi segala jasa orang tuanya.

“Saya juga berasa terharu mendengar tentang betapa besar manfaat pengeluaran khas KWSP kepada sebuah keluarga yang hanya memiliki motosikal sebelum itu.

“Wang berkenaan telah digunakan oleh mereka bagi membeli sebuah kereta Perodua Kancil untuk digunakan dalam urusan harian termasuk menghantar anak ke sekolah,” katanya di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata penerima perlu menggunakan wang KWSP tersebut untuk tujuan yang benar-benar bermanfaat buat diri dan keluarga.

“Saya pasti dua cerita yang tular di media sosial tersebut cumalah cebisan daripada banyak lagi kisah-kisah keberuntungan kepada rakyat di sebalik pengeluaran khas wang KWSP.

“Juga manfaatkanlah sebaik-baiknya untuk ke jalan yang diredhai Allah. Semoga rezeki yang diperolehi itu lebih bermanfaat untuk kita dan yang memerlukan.

“Sesungguhnya tiadalah daya upaya manusia melainkan dengan pertolongan Allah SWT jua,” katanya.

Pada 16 Mac lalu, kerajaan mengumumkan kebenaran pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu diberikan selepas kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here