Nurul Huda Abhar
PELAJAR sekolah dihantar ibu bapa menaiki kereta dan motosikal atau menggunakan pengangkutan awam adalah pemandangan biasa yang dilihat zaman kini.
Berlainan pula situasi di pedalaman Sabah, di mana pelajar masih ada terpaksa menyabung nyawa menaiki rakit diperbuat daripada buluh untuk menyeberangi sungai ke sekolah.
Perkongsian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di laman Facebook miliknya, memaparkan sebuah klip video lima murid sekolah rendah menaiki rakit untuk ke sekolah.
“Tular video anak-anak murid yang terpaksa naik rakit menyeberang ke sekolah. Berlaku di SK Nangkawangan, Keningau, Sabah.
“Naik rakit, pakai baju sekolah, angkat beg sekolah, naik tebing yang curam. Terpaksa buat kerana jambatan putus dua bulan lepas,” katanya dalam hantaran itu.
Syed Saddiq mendakwa, perkara itu berlaku apabila pendididkan tidak menjadi keutamaaan di negara ini.
“Nasib anak-anak murid apabila pendidikan itu bukan keutamaan negara. Bukan anak murid yang malas – tetapi mereka tidak ada institusi yang menyokong mereka jadi pandai dan belajar tinggi-tinggi,” katanya.
Video berdurasi 33 saat itu juga menunjukkan salah seorang daripada lima kanak-kanak itu memegang buluh panjang untuk dijadikan sebagai pendayung.
Rata-rata netizen mempersoalkan jurang perbezaan pembangunan di antara semenanjung dan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak masih wujud di zaman serba canggih ini.
“Sudah tahun 2022, masih ada rakyat Sabah terpaksa mengharungi hidup seperti ini, mana pergi semua hasil negeri Sabah,” kata Aswandi Andi.
“Inilah Malaysiaku yang ada 16 buah bangunan tertinggi dunia. Anak sekolah naik rakit,” ujar Studio Sr.
“Duit kerajaan buat apa ya? Nak tunggu lemas baru nak buat? Malaysia ini tak pernah serius atau belajar dari kesilapan,” kata Shasha. – Malaysiapost

