Skandal Thales: Anwar gesa kerajaan perjelas penglibatan syarikat asing

0
1
anwar ibrahim

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan menjelaskan bagaimana syarikat asing boleh terlibat dalam urusan jual beli aset pertahanan negara.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu daripada Mahkamah Perancis yang mendakwa syarikat aset pertahanan, Thales terbabit dalam skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002 telah mencetuskan polemik baharu berkenaan dengan skandal itu.

“Saya meneliti laporan terkait Mahkamah Perancis yang mendakwa syarikat aset pertahanan, Thales kerana terbabit dalam skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002.

“Kes ini berlangsung dan dibicarakan di Paris, Perancis dan pihak berkuasa Malaysia seolah ambil ringan dan aspek keadilan nampaknya tidak menjadi isu besar untuk disegerakan.

“Saya mendesak agar kerajaan dan pihak terlibat untuk segera menyatakan pendirian dan menjelaskan bagaimana watak-watak yang terlibat dapat dihadapkan ke muka pengadilan di Malaysia,” katanya di Facebook.

Semalam, media melaporkan, kesemua sembilan defendan, termasuk Thales didakwa di Perancis dan penyiasatan berhubung kes terbabit ditutup pada Januari lalu.

Mereka termasuk bekas pengerusi limbungan tentera laut Perancis, unit antarabangsa DCN, Philippe Japiot dan bekas Ketua Eksekutif Thales, Jean-Paul Perrier, selain dua lagi bekas eksekutif.

Keempat-empat mereka menafikan sebarang salah laku dan Kerajaan Malaysia menyatakan bahawa kontrak berkenaan bebas daripada elemen rasuah.

Bagaimanapun, Thales menolak sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan.

Pendakwa dari pejabat jenayah kewangan Perancis, PNF kini perlu mempertimbangkan untuk menerima sebarang permohonan lanjut daripada hakim berkenaan, bagi menentukan sama ada kes terbabit dibicarakan atau sebaliknya, meskipun rayuan sudah difailkan pada Mei tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here