
JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu menyiasat kes rasuah kapal selam Scorpene 2002 dan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu susulan pendakwaan terhadap Thales oleh Kerajaan Perancis, baru-baru ini.
Veteran DAP, Lim Kit Siang, berkata kedua-dua kes ada kaitan antara satu sama lain dan PAC didesak menyiasat perkara itu susulan pendakwaan terhadap Thales oleh Kerajaan Perancis atas tuduhan bersubahat merasuah dalam urusniaga Scorpene dua dekad lalu.
Kit Siang berkata, PAC boleh bertindak di bawah peruntukan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 77(d) yang memperuntukan bahawa PAC boleh memeriksa “(d) apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa, atau apa-apa perkara yang diserahkan oleh Majlis kepada Jawatankuasa itu.”
“Ini adalah kes kedua di mana pihak berkuasa asing telah mendedahkan kes skandal rasuah besar di Malaysia, sebelum ini, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, telah disabitkan bersalah pada 8 April di Amerika Syarikat, tetapi tidak di Malaysia, atas tiga tuduhan rasuah di luar negara berkaitan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
“Amatlah memalukan untuk negara kita apabila laman web Yayasan Keamanan Dunia di Tufts University mempunyai satu artikel mengenai ‘Skandal Kapal Selam Scorpene Malaysia’ yang bermula dengan dua perenggan berikut:
“Penjualan kapal selam ‘Scorpène’ Perancis bernilai EUR 1.2 bilion kepada Malaysia pada 2002, dan komisen yang meragukan yang mengiringi penjualan itu, mungkin tidak disedari jika tidak kerana berlakunya penculikan dan pembunuhan seorang penterjemah muda pada tahun 2006.
“… Mangsa yang bekerja dengan ejen utama dalam perjanjian itu, telah disasarkan apabila dia cuba mendapatkan bahagian komisennya,” katanya. – Malaysiapost
