
KELONGGARAN prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Aidilfitri yang melibatkan masjid dan surau adalah tertakluk pihak berkuasa agama negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, semua SOP yang ditetapkan kerajaan adalah panduan umum.
“Semua SOP yang ditetapkan pihak kerajaan adalah panduan umum, namun, ia juga tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan pelbagai kelonggaran protokol sambutan untuk Aidilfitri termasuk di kawasan masjid dan surau.
Antaranya takbir raya yang sudah dibenarkan termasuk dibuat di rumah, solat sunat Aidilfitri dengan kapasiti jemaah 100 peratus serta kunjungan ke rumah terbuka dan tanah perkuburan.
Namun, individu digalakkan memakai pelitup muka di kawasan sesak dengan segala SOP tersebut membabitkan hanya mereka yang tanpa gejala dan sudah pun lengkap vaksinasi.
Dalam pada itu, Idris berkata, garis panduan terkini itu dijangka dapat merealisasikan hasrat pihak kerajaan dalam pembentukan sebuah Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera.
“Saya mengharapkan dengan kelonggaran protokol ini, sambutan Aidilfitri yang bakal disambut umat Islam akan mengikat dan memperkukuhkan persaudaraan kita,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua jemaah masjid atau surau untuk digalakkan berwuduk dari rumah dan membawa sejadah sendiri selain masuk dan keluar dengan tertib.
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan pemakaian pelitup muka di luar bangunan tidak lagi diwajibkan bermula 1 Mei ini.
Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan. – Malaysiapost
