SEORANG pelajar lelaki berusia 16 tahun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi selepas didakwa dipukul sekumpulan pelajar lain di sebuah sekolah menengah di Langkawi, semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata mangsa membuat laporan hari ini berhubung kejadian yang berlaku pada jam 9 pagi di dalam sebuah kelas di sekolah berkenaan.
Beliau berkata, siasatan polis mendapati punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham.
“Pada pagi Khamis terkesan satu video tular memaparkan seorang pelajar dipukul beberapa orang pelajar lain yang mana disahkan ia berlaku di Langkawi.
“Satu laporan polis juga telah diterima daripada mangsa yang berumur 16 tahun dan mangsa telah dirujuk ke hospital sebaik menerima laporan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shariman berkata, suspek sedang dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh polis.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 25 saat kejadian buli di sebuah sekolah di Langkawi yang memaparkan seorang pelajar dipukul oleh hampir 10 pelajar lain termasuk dibaling meja dalam sebuah kelas. – Malaysiapost

