PRU15: Pejuang akan nilai dahulu agenda ‘khemah besar’ PH

0
2

PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, berkata pihaknya akan melihat terlebih dahulu pendekatan agenda ‘khemah besar’ yang dibawa Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mukhriz berkata, pihaknya ada mengadakan perbincangan dengan wakil PH untuk mendengar maksud khemah besar yang dikatakan mereka sebelum ini.

“Kita hendak dengar apa sebenarnya maksud mereka bila bercakap mengenai ‘khemah besar’ ini.

“Apa peranan setiap parti termasuk kami yang dianggap sebagai parti yang kecil hanya empat ahli Parlimen, kita tidak sampai setahun jagung lagi.

“Jadi kita mahu beri ruang kepada mereka untuk menerangkan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan khemah besar,” katanya.

BACA LAGI: Amat sukar PH jalin kerjasama dengan PN – DAP

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, pada PRU14 lalu khemah besar yang diwujudkan memberi ruang kepada semua parti tanpa mengira berapa banyak kerusi yang parti itu miliki.

“Kalau kita ingat zaman PH, pasca PRU14 khemah besar yang kita wujudkan ketika itu memberi ruang kepada semua parti, jadi tidak kiralah berapa jumlah kerusi yang dimenangi sekali pun.

“Jadi, kita mahu tahu adakah pendekatan seperti itu hendak diamalkan atau ada pihak tertentu akan mendominasi khemah besar ini,” katanya.

Mukhriz berkata, Pejuang kekal dengan pendirian untuk bersikap terbuka untuk berbincang dengan sesiapa sahaja, bukan hanya di peringkat negeri Sabah tetapi juga di Semenanjung.

Katanya, beliau optimis bahawa biarpun berbeza pandangan antara satu sama lain namun, persamaan tetap ada iaitu ingin mengubah corak politik negara supaya tidak kembali kepada zaman pra PRU14.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa kepimpinan PH agar tidak terus menutup ruang perbincangan bersama semua parti politik blok pembangkang menjelang PRU15. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here