WQH: PM seru masjid, surau dan individu ‘interaksi’ dengan al-Quran

0
1
Pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Zaid bin Haritsah bertadarus Al-Quran mengikut prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Zaid bin Haritsah Jalan Gombak Kuala Lumpur.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob menyeru organisasi masjid, surau dan individu meluangkan masa di lokasi masing-masing untuk ‘berinteraksi’ dengan al-Quran selama satu jam bermula 12 tengah hari ini.

Beliau berkata demikian bersempena penganjuran World #QuranHour (WQH) 2022 yang bertemakan ‘Dunia Bersujud’ dengan memilih surah ke-32 iaitu Al-Sajdah sebagai surah utama.

“WQH memilih surah Al-Sajdah sebagai surah utama yang mengajak orang ramai untuk menghayati erti sebenar bersujud dengan penuh keyakinan kepada Allah SWT, yang dapat membuang sifat ego atau sombong untuk berjaya di dunia dan akhirat.

“Surah itu juga menjadi panduan untuk kerangka minda dan penyatuan ummah melalui aspek ekonomi dan pendidikan, sekali gus memberi kekuatan kepada kita dalam menghadapi ujian dengan bersujud kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan khas sempena WQH menerusi video yang dimuat naik dalam akaun Facebook WQH, malam tadi.

BACA LAGI: Bagaimana kalau kantung amalan kita yang kosong?

Perdana Menteri berkata, walaupun program itu berlangsung selama sejam, beliau berharap WQH mampu menaikkan imej Islam sekali gus memupuk pembudayaan Al-Quran dalam kehidupan daripada segi pembacaan, penghayatan dan amalan.

“Harapan saya surah ini bukan sekadar dibaca tetapi diamalkan dalam kehidupan kita. Semoga usaha baik untuk mendekatkan masyarakat dengan Al-Quran seperti dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan rakan sinergi dapat diteruskan dan dirahmati,” katanya.

World #QuranHour kembali untuk tahun ketujuh membawakan tema ‘Dunia Bersujud’ sebagai usaha memperkukuhkan gelombang gerakan ‘Baca, Faham dan Amal Al-Quran’ dalam kalangan masyarakat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here