PERTUBUHAN Kebajikan Rumah Bonda (Pertubuhan Rumah Bonda) Kuala Lumpur mengambil maklum isu-isu tular di media sosial yang dikaitkan dengan Pertubuhan Rumah Bonda dan sebuah rumah perlindungan dikenali sebagai Rumah Bonda.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Pertubuhan Rumah Bonda menegaskan memandang serius semua dakwaan yang mula-mula ditimbulkan oleh profil Facebook ‘Mona Din’ milik Che Muna Din dan ‘Aliff Ahmad’ milik Ahmad Aliff AS Ahmad Sharifuddin, yang kemudiannya disebarkan secara meluas hingga mendapat reaksi negatif masyarakat awam.
Menurutnya, antara dakwaan yang sedang berlegar di media sosial ialah kononnya wujud kegiatan pemerdagangan bayi di rumah perlindungan Rumah Bonda.
“Pertubuhan Rumah Bonda menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk segera membuat laporan kepada pihak berkuasa agar satu siasatan rasmi dapat dijalankan.
“Pertubuhan Rumah Bonda dan rumah perlindungan Rumah Bonda akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi menangkis dakwaan tidak berasas tersebut,” menurut kenyataan itu.
Pertubuhan itu memaklumkan membuka sebuah rumah perlindungan pada awal tahun 2019 dikenali sebagai ‘Rumah Bonda’ bagi memberi tempat perlindungan kepada remaja dan wanita hamil tanpa nikah serta remaja dan wanita teraniaya.
Selain memberi perlindungan kepada remaja dan wanita yang terlibat dengan gejala sosial; bayi luar nikah dan tidak diterima keluarga; serta menjaga bayi dan kanak-kanak yang sedang menjalani kes-kes mahkamah buat sementara waktu.
Menurut Pertubuhan Rumah Bonda, demi menjaga kerahsiaan, maruah dan rekod masa lampau para penghuni, rumah perlindungan Rumah Bonda pada sepanjang masa menyimpan kesemua maklumat dengan amanah dan berhati-hati bagi melindungi maklumat tersebut daripada terdedah kepada masyarakat umum.
“Perlindungan kerahsiaan maklumat ini bukan sahaja melibatkan identiti dan latar belakang penghuni rumah perlindungan Rumah Bonda, tetapi juga melibatkan maklumat berkaitan keluarga angkat dan bayi yang diserahkan sebagai anak angkat oleh bekas penghuni sendiri (bukan melalui rumah perlindungan Rumah Bonda).
“Walau bagaimanapun Pertubuhan Rumah Bonda mendapati bahawa maklumat maklumat sulit ini telah didedahkan dan disebarkan secara tidak bertanggungjawab dan berniat jahat oleh individu-individu tertentu di media sosial.
“Pertubuhan Rumah Bonda percaya maklumat-maklumat sulit ini telah didedahkan secara tidak bertanggungjawab oleh individu bernama Nur Syazwana Samsaimon yang juga bekas kakitangan rumah perlindungan Rumah Bonda,” katanya.
Pertubuhan Rumah Bonda dengan ini menegaskan bahawa pada bila-bila masa tidak mengizinkan rekod-rekod sulit bekas penghuni disalahgunakan dan disebarkan sedemikian rupa.
Pertubuhan Rumah Bonda juga memandang serius percubaan pihak tertentu menghubungi dan mengganggu keluarga-keluarga angkat, menyebarkan maklumat dan gambar mereka di media sosial serta mendesak mereka untuk membuat laporan polis palsu dengan mendakwa berlaku kegiatan penjualan bayi di rumah perlindungan Rumah Bonda.
“Pertubuhan Rumah Bonda telah merujuk perkara ini dengan pihak peguam dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya. – Malaysiapost

