AMAT penting untuk Malaysia mempelajari kepakaran Jepun dalam industri rel, sekali gus dapat memberi manfaat kepada negara, kata Datuk Seri Wee Ka Siong.
Menteri Pengangkutan itu berkata ini memandangkan Jepun sebuah negara yang maju dan berpengalaman dalam industri tersebut.
Ka Siong menjelaskan, perkara itu antara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat daripada Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko di Putrajaya hari ini.
Dalam pertemuan selama sejam ini, katanya, mereka banyak menyentuh tentang pembangunan bagi ketiga-tiga sektor darat, udara dan maritim melibatkan kedua-dua negara.
“Dalam masa sama, saya turut berkongsi mengenai pembangunan projek-projek mega seperti ECRL, RTS Link, MRT3 dan lain-lain projek infrarakyat yang sedang atau bakal dibangunkan.
“Menurut TYT Takahashi Katsuhiko, beliau penuh yakin syarikat-syarikat dari Jepun akan terus melabur ke Malaysia khususnya dalam industri pengangkutan dan logistik.
“Kami berdua bersependapat hubungan baik kedua-dua negara Malaysia-Jepun perlu diteruskan pada masa akan datang demi kepentingan bersama,” katanya. – Malaysiapost

