PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) melalui peguamnya menfailkan satu Permohonan Kebenaran untuk Memohon Semakan Kehakiman pada 20 April lalu di Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur.
Ia susulan tindakan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) mendaftarkan Malaysian Sepak Takraw Confederation (MSC) sebagai sebuah badan sukan sepak takraw peringkat kebangsaan di Malaysia,
Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata permohonan itu yang dibuat secara ex-parte telah menamakan PJS sebagai Responden Pertama dan Menteri Belia dan Sukan sebagai Responden Kedua.
“Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur telah menetapkan 7 Julai 2022 untuk pendengaran permohonan tersebut di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.
“Pihak Jabatan Peguam Negara juga telah diserahkan dengan semua dokumen-dokumen permohonan pada 25 April 2022.
“PSM berharap semua pihak dapat memberikan ruang yang sewajarnya sehingga isu perundangan ini diselesaikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada 22 Mac lalu, PSM memohon PJS supaya membatalkan pendaftaran MSC sebagai badan sukan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.
PSM menerusi peguam yang dilantik, mengemukakan permohonan berkenaan susulan tindakan badan itu yang memohon campur tangan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) bagi menyelesaikan isu atau pertikaian perundangan dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).
Ia merangkumi keabsahan keputusan penyingkiran PSM daripada ASTAF dengan alasan tindakan bekas Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail yang menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) di atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden ASTAF pada ketika itu dilihat tidak munasabah dan bersalahan dengan prinsip keadilan.
Selain itu, PSM mendakwa kesalahan penerimaan MSC sebagai ahli gabungan ASTAF yang dilihat bertentangan dengan kehendak Fasal 12 Perlembagaan ASTAF di mana MSC tidak atau masih belum diiktiraf Majlis Olimpik Malaysia (MOM). – Malaysiapost

