JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mengambil serius kenyataan Pesuruhjaya Kanak-Kanak di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berhubung kesesakan depot tahanan dan kekurangan kakitangan jabatan itu.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata kenyataan itu tidak berasaskan fakta dan tidak memberikan gambaran sebenar mengenai situasi semasa pengurusan depot-depot Imigresen di seluruh negara.
Menurutnya, secara keseluruhan jumlah kapasiti tahanan di semua 21 depot Imigresen seluruh Malaysia termasuk tiga depot Imigresen sementara adalah 21,150 orang.
“Sehingga 24 April 2022, jumlah tahanan di depot-depot tersebut adalah seramai 17,624 orang terdiri daripada 12,895 tahanan lelaki, 3211 tahanan wanita, 851 tahanan kanak-kanak lelaki dan 677 tahanan kanak-kanak perempuan.
“Kesemua tahanan kanak-kanak ditempatkan bersama penjaga mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau merujuk laporan media mengenai kenyataan daripada Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di SUHAKAM yang mendakwa keadaan Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan sesak dengan tahanan, manakala tiga Depot yang lain kekurangan kakitangan.
Khairul Dzaimee berkata, jumlah kapasiti tahanan di Depot Imigresen Lenggeng Negeri Sembilan adalah seramai 1,000 orang iaitu 800 untuk tahanan lelaki dan 200 untuk tahanan perempuan.
“Sehingga 24 April 2022, jumlah tahanan di Depot Imigresen Lenggeng adalah seramai 779 orang terdiri daripada 583 tahanan lelaki, 173 tahanan perempuan, 15 tahanan kanak-kanak lelaki dan 8 tahanan kanak-kanak perempuan,” katanya.
Menurutnya, dari segi perjawatan JIM telah mengkaji keperluan perjawatan bagi semua depot pada tahun 2019 dengan mengambilkira keperluan sebenar pegawai dan telah dipersetujui oleh agensi pusat termasuk tambahan jawatan di empat pusat tahanan sementara (PTS) di Sabah selepas pengambilalihan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“JIM sedang membuat pengisian kekosongan jawatan termasuk di depot-depot tahanan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata, dalam pengurusan Depot Imigresen, JIM sentiasa mematuhi ketetapan di dalam Peraturan Minimum Standard Bangsa-Bangsa Bersatu bagi tahanan (The Nelson Mandela Rules), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Peraturan – peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot 2003), Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pengurusan & Pentadbiran Depot Imigresen dan garis panduan ICRC untuk aspek kesihatan.
“Jabatan ini mengambil serius kenyataan daripada Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM yang tidak berasaskan fakta dan tidak memberikan gambaran sebenar mengenai situasi semasa pengurusan depot-depot Imigresen di seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost

