STOR simpanan rampasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) terbakar dalam kejadian lewat petang tadi mengakibatkan tiga lelaki cedera dan 50 kenderaan terbakar.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Daniel Ahmad Kamal, berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada jam 6.22 petang.
Menurutnya, susulan pasukan operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul serta bantuan BBP Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Wangsa Maju dihantar ke tempat kejadian di Jalan Perhentian, Kuala Lumpur.
“Setibanya pasukan bomba dilokasi kejadian pada jam 18.32 petang mendapati kebakaran membabitkan stor simpanan rampasan bahan bukti yang terbakar 30 peratus struktur bangunan dan 80 peratus kawasan terbuka membabitkan 50 kenderaan.
“Terdapat tiga lelaki dewasa mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba membuat pemadaman dengan menggunakan kaedah secara ‘offensive’ dengan memasuki premis dan ‘defensive’ dengan pemadaman di luar bangunan.
“Kebakaran berjaya dikawal oleh pasukan bomba pada jam 7.04 malam dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Malaysiapost

