MB Kedah didesak berjanji tidak keluarkan lesen pembalakan atau kuari pasir di Gunung Raya

0
1

MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan semua Menteri Besar Kedah pada masa akan datang didesak untuk berjanji tidak akan mengeluarkan lesen pembalakan atau kuari Pasir di Gunung Raya, Langkawi selama-lamanya.

Ketua Pejuang Muda Langkawi Alif Aiman Azman, berkata pihaknya hari ini menyerahkan petisyen ‘Save Gunung Raya Langkawi’ kepada Muhammad Sanusi melalui Pejabat Daerah dan Tanah, Langkawi bagi tujuan itu.

Menurutnya, setakat ini petisyen dalam talian itu mendapat 13,560 tandatangan seluruh Langkawi selepas ia dimulakan oleh penduduk setempat yang bimbang akan keadaan Gunung Raya.

“Kami mengambil maklum pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir membangkitkan mengenai surat tawaran kerajaan negeri kepada sebuah syarikat swasta bagi pengeluaran kayu balak atau kuari pasir di Hutan Simpan Gunung Raya.

“Menteri Besar Kedah kemudian telah menjelaskan tiada lesen sedemikian dikeluarkan setakat ini dan susulan itu sebahagian masyarakat menyuarakan mereka juga tidak mahu perkara itu berlaku di Gunung Raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alif Aiman berkata, pihaknya mendesak Menteri Besar Kedah mengeluarkan perintah untuk menghentikan sebarang aktiviti pembalakan atau kuari pasir di Gunung Raya dalam usaha pemuliharaan Langkawi yang bertaraf UNESCO Global Geopark yang pertama di Asia Tenggara.

Beliau berkata, bencana alam seperti banjir besar dan tanah runtuh yang berlaku berulang Kali adalah berpunca daripada perubahan iklim yang turut dikaitkan dengan aktiviti pembalakan.

“Tempat seperti Gunung Raya adalah ekosistem kepada pelbagai flora dan fauna. Jika lesen pembalakan atau kuari pasir dikeluarkan pada masa akan datang ia tentu menjadi ancaman kepada ratusan flora dan fauna malah boleh mengubah dan memusnahkan habitat semulajadi yang unik di gunung berkenaan.

“Justeru ditegaskan bahawa penduduk Langkawi tidak mahu sebarang lesen pembalakan atau kuari pasir yang diluluskan di Gunung Raya Langkawi selama-lamanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here