Bentang segera Pelan Mitigasi Banjir di Dewan Rakyat

0
2

KETUA Pemuda PKR Wilayah Persekutuan, P Prabakaran menggesa kerajaan segera membentangkan Pelan Mitigasi Banjir di Dewan Rakyat bagi menangani bencana alam itu yang kini kerap berlaku di ibu negara.

Beliau berkata, beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor sekali lagi mengalami banjir kilat semalam.

“Banjir itu telah menyebabkan beberapa kawasan tidak dapat digunakan antaranya adalah Jalan Parlimen, Jalan Kuching, Jalan Travers, Jalan Tunku Abdul Halim, Jalan Semantan, Pintasan Segambut, Jalan Segambut, Jalan Kinabalu, Lorong Maroof, Jalan Thambi Abdullah, Sentul dan beberapa kawasan lain lagi.

“Namun begitu, semua sedia maklum isu banjir ini bukan pertama kali malah sudah beberapa kali terjadi semenjak penghujung tahun lepas dan awal tahun ini.

“Sehingga sekarang pelan mitigasi banjir yang dijanjikan di Dewan Rakyat juga masih belum dibentangkan oleh kerajaan hari ini,” katanya.

BACA LAGI: Banjir kilat KL: Kerajaan perlu beri bantuan kecemasan kepada mangsa

Justeru itu, Prabakaran meminta penjelasan daripada kerajaan berhubung tempoh masa yang perlu diambil untuk mengkaji dan menyelesaikan isu banjir.

Menurutnya, pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Abdul Latiff, menyatakan negara masih belum mempunyai Akta Pengurusan Bencana dan kerajaan sedang mempercepatkan penggubalan akta tersebut.

“Namun sehingga sekarang kita tidak tahu ke mana hasil penggubalan data tersebut.

“Manakala NADMA seolah-olah masih belum bersedia dengan sebarang kemungkinan banjir. Malah ia sangat menghairankan apabila kerajaan masih gagal mengoptimumkan fungsi Jabatan Meteorologi Malaysia untuk memberi amaran awal kepada rakyat di sesetengah kawasan mengenai perubahan cuaca,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga turut menubuhkan pasukan khas atau ‘Task Force Banjir Kilat’.

“Selain itu, meluluskan dana sebanyak RM25 juta bagi menyelesaikan isu banjir kilat di Kuala Lumpur bersama Institut Kerja Raya Malaysia yang dilaporkan akan dibentangkan April ini namun sehingga sekarang tiada khabar berita mengenainya.

“Bagaimanapun, saya mendesak DBKL dan Institut Kerja Raya Malaysia untuk mengeluarkan hasil siasatan yang dijalankan seperti dijanjikan pada Februari lalu.

“Jangan lakukan kerja hangat-hangat tahi ayam sahaja pada akhirnya tiada perkembangan mengenai apa yang dijanjikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here