PU Amin sedih lagu raya moden kini jauh dari budaya Melayu, Islam

0
2

PENDAKWAH bebas kelahiran program Pencetus Unmah, PU Amin menzahirkan rasa kecewa dan sedih dengan lagu raya moden ketika ini yang disifatkan jauh daripada adat budaya Melayu dan Islam.

Menerusi hantaran di Instagramnya, PU Amin berkata, Aidilfitri adalah hari kebesaran bagi umat Islam dan ia sepatutnya diraikan dengan memuji kebesaran Allah SWT.

“Hari raya adalah hari kebesaran Islam. Kita wajib raikan Syawal dengan membesarkan Allah.

“Tapi sedih, dengan lagu raya moden kini jauh dari adat budaya seni Melayu kita. Apatah lagi dengan nilai agama,” tulisnya.

Menurut pendakwah itu, dia berasa serba salah kerana apabila ditegur pihak terbabit akan marah, sebaliknya jika dibiarkan ia akan merosakkan seluruh keturunan.

BACA LAGI: Aliff Syukri tiba di SKMM bantu siasatan klip video Aidilfitri

“Raya Islam tidak sama dengan raya agama lain. Peliharalah Aidilfitri dengan memuliakan Allah.

“Moga rahmat Ramadan beri kekuatan pada kita untuk berhijrah kepada kebaikan,” katanya lagi.

Hantaran berbentuk teguran berkenaan turut mendapat perhatian netizen termasuk di kalangan selebriti tanah air yang bersetuju dan senada dengan pendakwah muda terbabit.

Teguran PU Amin menerusi hantaran Instagram.

Pelakon dan pengacara, Diana Amir, dalam ruangan komen turut meminta PU Amin mencipta lagu raya yang dapat menimbulkan rasa insaf dan sykur.

Sementara itu, netizen menyifatkan kehadiran lagu raya moden yang tidak sesuai itu menyebabkan keindahan hari raya pudar dan ‘tercemar’.

Sebelum ini, usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri ditegur dan disifatkan tidak menghormati bulan Ramadan selepas memuat naik video pendek lagu raya baru nyanyiannya di media sosial.

Video itu mendapat pelbagai komen negatif daripada netizen kerana aksi beberapa orang penari berpewatakan lembut dalam klip itu yang dikatakan agak keterlaluan.

Selain itu, pada 19 April lalu, video muzik lagu raya kumpulan Dolla bersama Hael Husaini bertajuk ‘Suara Lebaran Kita’ turut mengundang kecaman ramai kerana didakwa tidak sesuai dengan suasana lebaran.

Sebaliknya, rata-rata daripada netizen yang meninggalkan komen mempersoal sama ada itu adalah lagu bertemakan Tahun Baru Cina atau Krismas.

Selain itu, ada juga yang menyuarakan pendapat bahawa budaya menyambut raya semakin hilang.

Malah, netizen menyifatkan revolusi lagu raya zaman sekarang tidak sama seperti lagu-lagu raya dulu yang boleh didengari semua peringkat umur. – Malaysiapost

Kredit Foto: Instagram PU Amin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here